Sunday, May 15, 2011

BERSEGERA KE MASJID APABILA MASUK WAKTU SOLAT

"Dan dari Aisyah Radhiyallahu Anha, ia berkata, 'Rasulullah S.A.W biasa berbincang-bincang dengan kami dan kami pun berbincang-bincang dengan beliau. Tetapi apabila masuk waktu solat, seakan-akan beliau tidak mengenal kami dan kami pun tidak mengenali beliau'." (HR. Al-Azdi)

Begitu tingginya nilai keutamaan solat berjemaah dan memenuhi panggilan adzan, sehingga dalam keadaan sedang bercengkerama dengan isteri-isterinya pun, ketika masuk waktu solat, dan dikumandangkan adzan Rasulullah S.A.W terus menyelesaikan pembicaraannya. Lalu beliau segera mengambil air wudhu, bersiap-siap dan bergegas menuju ke masjid untuk menunaikan solat jemaah bersama-sama para sahabat. Tentang sikap beliau tatkala menjawab panggilan solat ini, sampai-sampai Aisyah menggambarkannya sebagai "seakan tidak mengenali mereka."

Itulah kebiasaan beliau ketika masuk waktu solat, segera bersiap-siap dan bergegas menuju ke masjid. Dalam hadits lain yang juga diriwayatkan dari Aisyah disebutkan,

"Dari Al-Aswad bin Yazid, ia berkata, Aku bertanya kepada Aisyah Radhiyallahu Anha, 'Apa yang dilakukan Nabi S.A.W di rumahnya?' Kata Aisyah, 'Beliau membantu pekerjaan keluarganya. Dan apabila masuk waktu solat, beliau segera keluar menunaikan solat'." (HR. Al-Bukhari)

Dan dalam hadits lain yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dan Muslim dari Amru bin Umayyah Adh-Dhamari Radhiyallahu Anhu disebutkan,

"Aku (Amru) melihat Rasulullah S.A.W memotong daging kambing dan memakannya. Kemudian ketika datang panggilan solat, beliau terus berdiri dan meletakkan pisaunya, lalu solat." (Muttafaq Alaih)

Diriwayatkan, bahawa Ali bin Abi Thalib Radhiyallahu Anhu sampai bergetar tubuhnya dan berubah warna raut mukanya apabila datang waktu solat dan terdengar panggilan adzan. Seorang sahabat bertanya, "Ada apa dengan dirimu, wahai Amirul Mukminin?" Ali berkata, "Telah datang waktu amanat pernah ditawarkan Allah kepada langit, bumi dan gunung, untuk menjadi khalifah. Kemudian mereka menolak dan tidak sanggup menjadi khalifah. Kemudian ketika amanat ini ditawarkan kepada manusia, dia pn menerimanya.

MERINGANKAN SOLAT JIKA BERJEMAAH

Dalam hadits yang diriwayatkan dari Anas bin Malik Radhiyallahu Anhu disebutkan,

"Rasulullah S.A.W selalu meringankan solat dan menyempurnakannya." (Muttafaq Alaih)

Yang dimaksud dengan solat di atas, iaitu solat berjemaah sebagaimana dipertegas dalam sabda beliau,

"Apabila salah seorang dari kalian solat mengimami orang-orang, maka hendaklah ia ringankan. Kerana sesungguhnya di antara mereka ada yang lemah, yang sakit, dan ada yang berusia lanjut. Dan jika salah seorang dari kalian solat sendirian, maka panjangkanlah solat sesukanya." (HR. Al-Bukhari dan Muslim)

Wednesday, May 4, 2011

MENGARAHKAN PANDANGAN KE TEMPAT SUJUD

Solat adalah komunikasi langsung antara seorang hamba dan TuhanNya. Di mana dalam solat, seorang hamba bermunajat kepadaNya. Sehingga sudah seharusnya jika seorang hamba melaksanakan solatnya dengan penuh khusyu' .Kerana ketika seseorang solat, dia sedang berhadapan dengan Allah S.W.T. Salah satu cara menggapai khusyu' dalam solat adalah mengarahkan pandangan hanya ke tempat sujud, sebagaimana yang diajarkan Rasulullah S.A.W. Dalam sebuah hadits disebutkan,

"Dan dari Abdullah bin Abbas Radhiyallahu Anhuma, ia berkata, 'Apabila Rasulullah S.A.W telah memulai solatnya, beliau tidak melihat kecuali hanya ke tempat sujudnya'." (HR. Al-Baihaqi)

"Beliau tidak melihat kecuali hanya ke tempat sujudnya," maksudnya ialah; beliau S.A.W hanya mengarahkan pandangan ke arah tempat sujudnya. Hal ini selain menjaga agar pandangan tidak ke sana ke mari, ia juga membuat seseorang lebih khusyu' dalam solatnya. Cuma ketika duduk tasyahhud, pandangan diarahkan ke jari telunjuk, bukan ke tempat sujud. Dalam hadits Anas bin Malik Radhiyallahu Anhu disebutkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda,

"Ada apa dengan orang-orang yang mengangkat pandangannya ke langit dalam solatnya? Hendaklah mereka menghentikan perbuatan tersebut atau mata-mata mereka akan dibutakan?" (HR. Al-Bukhari)

Orang yang ketika solat matanya melihat ke atas dan ke sana ke mari serta tidak terfokus ke arah tempat sujud, menandakan ketidakkhusyu'an orang tersebut. Kerana mengalihkan pandangan ke arah lain selain tempat sujud adalah kerja syaitan yang berjaya mengganggunya. Seperti hadits yang diriwayatkan oleh Aisyah Radhiyallahu Anha,

"Aku (Aisyah) bertanya kepada Rasulullah S.A.W tentang memalingkan pandangan ketika solat. Beliau bersabda, 'Itu gangguan yang dilancarkan syaitan terhadap solat seorang hamba'." (HR. Al-Bukhari)

Jadi mengarahkan pandangan ke tempat sujud yang biasa dilakukan dan diajarkan oleh Nabi adalah sunnah. Hal ini merupakan salah satu usaha untuk dapat berkonsentrasi penuh dalam melaksanakan solat. Dan inilah yang disebut sebagai khusyu' yang dijanjikan Allah akan memperoleh kebahagiaan sebagai pewaris abadi syurga Firdaus di akhirat kelak.

Tuesday, May 3, 2011

MELETAKKAN TANGAN KANAN DI ATAS TANGAN KIRI

Solat dengan meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri ketika berdiri, adalah sesuatu yang selalu kita lihat dan saksikan sehari-hari dan kita lakukan. Dan rasanya kita tidak pernah melihat hal yang sebaliknya, yakni orang solat yang meletakkan tangan kanannya di bawah tangan kiri. Demikianlah praktik yang disaksikan oleh para sahabat sejak awal datangnya Islam. Dalam sebuah hadits disebutkan,

"Dari Qabishah bin Hulb dari ayahnya Radhi-yallahu Anhuma, ia berkata, 'Ketika Rasulullah S.A.W mengimami kami, beliau mengambil tangan kirinya dengan tangan kanannya'." (HR. At-Tirmidzi)

Mengambil tangan kirinya dengan tangan kanannya, maksudnya adalah meletakkan tangan kanannya di atas tangan kirinya. Demikianlah yang dilakukan Rasulullah S.A.W dalam solatnya. Dan demikian pula yang biasa kita lakukan saat solat.

Sahl bin Sa'ad Radhiyallahu Anhu berkata,

"Dulu orang-orang diperintahkan oleh Nabi agar meletakkan tangan kanannya di atas pergelangan tangan kirinya di dalam solatnya." (HR.  Al-Bukhari)

Sunday, May 1, 2011

MENGANGKAT KEDUA TANGAN SAAT TAKBIRATUL IHRAM, AKAN RUKU' DAN BANGUN DARI RUKU'

"Dan dari Ibnu Umar Radhiyallahu Anhuma, ia berkata, 'Apabila Nabi S.A.W hendak solat, beliau mengangkat kedua tangannya hingga sejajar dengan bahunya lalu bertakbir. Dan apabila akan ruku', beliau juga mengangkat kedua tangannya seperti itu. Kemudian ketika mengangkat kepalanya dari ruku', beliau mengangkat kedua tangannya seperti itu juga dan berkata; sami' allahu liman hamidah, rabbana wa lakal hamd'. " (maksudnya: Allah Maha Mendengar orang yang memuji-Nya. Ya Tuhan kami, hanya bagi-Mulah segala pujian) (HR. Al-Bukhari dan Muslim)

Dalam hadits ini disebutkan, bahawa Rasulullah S.A.W mengangkat kedua tangannya terlebih dahulu lalu membaca takbir (Allahu Akhbar). Namun dalam hadits lain ada juga yang  menyebutkan, bahawa beliau bertakbir terlebih dahulu lalu mengangkat kedua tangannya. Tetapi boleh juga difahami bahawa beliau mengangkat kedua tangannya seraya membaca takbir bersama-sama. Dan ketika takbir, kedua tangan beliau sejajar dengan bahunya. Demikian yang biasa beliau lakukan dalam solatnya menurut hadis ini.

Abu Qilabah berkata, "Aku melihat solatnya Malik bin Al-Huwairits Radhiyallahu Anhu. Apabila takbiratul ihram, dia mengangkat kedua tangannya. Ketika akan ruku', dia mengangkat kedua tangannya. Dan jika bangun dari ruku', dia juga mengangkat kedua tangannya. Kemudian saat aku menanyakan hal ini kepadanya, dia memberitahuku, bahawa Rasulullah S.A.W juga melakukan seperti ini.