Thursday, April 28, 2011

MELURUSKAN SHAF SEBELUM MULAI SOLAT JEMAAH

Tentang kebiasaan Nabi S.A.W dalam hal ini, Anas bin Malik Radhiyallahu Anhu berkata,

"Bahwa Nabi S.A.W apabila hendak takbiratul ihram, beliau menghadapkan wajahnya kepada kamu seraya berkata, 'Rapatkanlah dan luruskan'. Dalam riwayat lain, beliau berkata, 'Luruskanlah shaf-shaf kalian, kerana shaf yang lurus adalah bahagian dari kesempurnaan solat ". (HR. Al-Bukhari dan Muslim)

Sudah menjadi kebiasaan Rasulullah S.A.W setiap kali akan mengimami para sahabat, dimana beliau menghadap ke arah mereka dan menyuruh mereka agar meluruskan, merapatkan dan merapikan shaf. Beliau tidak ingin barisan kaum muslimin tidak teratur. Kerana shaf yang rapat, lurus dan teratur rapi menunjukkan bagusnya solat mereka, kesempurnaan mereka dalam mematuhi perintah imam, menyatukan hati-hati mereka, dan menampakkan pemandangan yang indah.

Begitu pentingnya nilai kerapian shaf, hingga kadang-kadang Nabi S.A.W turun langsung ke shaf sahabat dan meluruskan barisan mereka dengan tangan beliau. Al-Barra' bin Azib Radhiyallahu Anha menceritakan,

"Rasulullah S.A.W terkadang merapatkan shaf yang kosong dari satu sisi ke sisi yang lain. Beliau meluruskan dada dan bahu kami seraya berkata, 'Janganlah kalian berselisih, kerana hati kalian juga akan berselisih.' Beliau juga bersabda, 'Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya mendoakan shaf-shaf awal'." (HR. Abu Dawud)

"Janganlah kalian berselisih", maksudnya iaitu janganlah bahu dan dada kalian saling mendahului satu sama lain. Dan "hati kalian juga akan berselisih', maksudnya mempunyai keinginan buruk serta mengikut hawa nafsu.

Jadi, sesuai dengan sunnah dan kebiasaan yang dilakukan Nabi, hendaklah seorang imam menyuruh makmum agar meluruskan dan merapatkan shafnya sebelum memulai solat. Dan hendaknya makmum mengikuti apa yang dikatakan oleh imamnya, kerana meluruskan dan merapatkan shaf serta mengikuti imam adalah sunnah.

Tuesday, April 26, 2011

SELALU SOLAT DHUHA

"Dari Aisyah Radhiyallahu Anha, ia berkata bahawa Rasulullah S.A.W biasa solat dhuha empat rakaat. Dan beliau menambah berapa pun yang dikehendaki Allah." (HR. Muslim)

Beliau menambah berapa pun yang dikehendaki Allah, maksudnya jika Nabi S.A.W solat dhuha lebih dari empat rakaat, maka itu kehendak Allah S.W.T kerana bagaimanapun kehendak seorang manusia tidak lepas dari kehendak Allah juga.

Hadis di atas jelas menyebutkan bahawa Nabi biasa mengerjakan solat dhuha empat rakaat setiap harinya. Namun, kadang-kadang beliau juga solat lebih dari empat rakaat. Beliau pernah solat dhuha enam rakaat, dan pernah juga lapan rakaat. Namun bukan bererti, tidak boleh solat dhuha dua rakaat kerana beliau juga menganjurkan umatnya untuk mengerjakan solat dhuha dua rakaat.

Tentang keutamaan solat dhuha, Rasulullah S.A.W bersabda,

"Setiap tulang sendi kalian wajib bersedekah pada pagi hari, maka setiap tasbih adalah sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah, setiap takbir adalah sedekah, menyuruh berbuat baik adalah sedekah, dan melarang perbuatan mungkar juga sedekah. Namun itu semua dapat dipenuhi dengan dua rakaat solat dhuha." (HR. Muslim)

Saturday, April 23, 2011

MEMBACA SURAH AL-A'LA, AL-KAFIRUN DAN AL-IKHLAS DALAM SOLAT WITIR

"Dan dari Ubay bin Ka'ab Radhiyallahu Anhu, bahawasanya Nabi S.A.W biasa membaca Sabbihisma rabbikal a'la pada rakaat pertama solat witir. Dan pada rakaat kedua, beliau membaca Qul ya ayyuhal kafirun. Lalu pada rakaat ketiga, beliau membaca Qul huwallahu ahad. Beliau tidak salam melainkan pada rakaat terakhir." (HR. Ahmad)

Demikianlah tiga surah yang biasa dibaca Nabi dalam tiga rakaat solat witirnya. Tiga surah tersebut yaitu, Sabbihisma rabbikal a'la, yakni surah Al-A'la. Ia merupakan surah ke-87 dalam urutan mashaf Al-Quran. Surah ini beliau baca pada rakaat pertama. Sedangkan Qulya ayyuhal kafirun, adalah surah Al-Kafirun. Ia merupakan surah ke-109 dalam urutan Al-Quran. dan surah ini beliau baca pada rakaat kedua. Adapun Qul huwallahu ahad, ialah surah Al-Ikhlas, surah ke-112 dalam Al-Quran, sekaligus merupakan surah yang dibaca beliau pada rakaat ketiga.

Bagi yang mengerjakan solat witirnya tiga rakaat, maka hadis di atas sangat tepat untuk diamalkan. Kerana hadis ini menegaskan, bahawa Rasulullah S.A.W tidak mengakhiri solatnya(salam) melainkan setelah rakaat ketiga. Dan tiga surah inilah yang sering kita dengar dari para imam solat tarawih pada bulan Ramadhan dalam solat witir.

Adapun bagi yang mengerjakan solat witir satu rakaat, maka dia membaca surah Al-A'la dan Al-Kafirun pada dua rakaat sebelumnya. Setelah dipisah dengan salam, dia solat satu rakaat lagi dengan membaca surah Al-Ikhlas. Sebagaimana madzhab Maliki dan Syafi'i mereka menambahkan surah Al-Falaq dan An-nas setelah surah Al-ikhlas pada rakaat terakhir. Berdasarkan pendapat pada hadis riwayat Aisyah Radhiyallahu Anha,

"Sesungguhnya Nabi S.A.W biasa membaca Al-Fatihah dan Sabbihisma rabbikal a'la pada rakaat pertama solat witir. Dan membaca Qul ya ayyuhal kafirun pada rakaat kedua, kemudian membaca Qul huwallahu ahad serta Al-Falaq dan An-Nas pada rakaat ketiga." (HR. Abu Dawud, At-Tirmidzi, An-Nasa'i dan Ibnu Majah)

Solat witir merupakan solat sunnah yang mempunyai keutamaan dan kedudukan tersendiri dalam Islam. Rasulullah S.A.W selalu mengerjakan solat witir ini dan sangat mendorong umatnya agar sentiasa melaksanakannya, meskipun hanya satu rakaat, dan sekalipun itu sesaat sebelum subuh ataupun sesaat sebelum tidur. Rasulullah S.A.W bersabda,

"Sesungguhnya Allah itu witir (Maha Esa atau Maha Tunggal), maka witirlah kalian hai ahli Quran." (HR. Abu Dawud dan At-Tirmidzi)

Sunday, April 17, 2011

MENGGOSOK GIGI APABILA BANGUN MALAM

"Dan dari Hudzaifah Radhiyallahu Anhu, ia berkata, bahawa apabila Rasulullah S.A.W bangun dari tidurnya, beliau menggosok giginya dengan siwak." (HR. Al-Bukhari dan Muslim)

Dalam kamus al-Munjid disebutkan, bahawa siwak adalah sejenis ranting atau kayu-kayu kecil yang dipakai untuk menyikat gigi. Siwak ini berbau harum dan biasa dipakai oleh orang Arab untuk menggosok gigi. Siwak berasal dari kata yang ertinya menggosok atau menyikat. Itu dulu. Dan untuk masa sekarang, orang biasa membersihkan gigi dengan berus gigi dan ubatnya.

Adapun maksud dari "apabila bangun dari tidur" adalah bangun pada malam hari. Sebab, memang setiap hari Nabi S.A.W selalu bangun malam. Jadi bukan bangun tidur di pagi hari sebagaimana yang lazim kita kenal. Namun secara umum, hadis ini boleh difahami dan diamalkan, yaitu menggosok gigi setiap kali bangun dari tidur. Baik semasa pagi hari semasa hendak menunaikan solat Subuh ataupun bangun dari tidur di siang hari. Hadis ini diperkuat oleh riwayat dari Aisyah yang mengatakan,

"Kami (para isteri Nabi) selalu menyiapkan berus gigi (siwak) dan alat bersuci untuk Rasulullah S.A.W. Kemudian Allah membangunkannya di malam hari bila saja Dia menghendaki. Lalu beliau menggosok gigi, berwudhu, dan solat." (HR. Muslim)

Ada beberapa pelajaran yang dapat kita ambil. Pertama, contoh kebersihan yang ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W dalam sehariannya, dimana beliau menjaga kebersihan tubuhnya, termasuk giginya. Kerana mulut cenderung berbau tidak sedap setelah seseorang bangun tidur. Kedua, dalam menghadap Tuhannya, beliau selalu menjaga penampilan seindah mungkin, bersih dalam pakaian dan tubuhnya. Beliau tidak ingin menghadap Allah dalam keadaan badan yang kotor atau dengan bau mulut yang tidak sedap serta pakaian yang tidak kemas. Rasulullah S.A.W bersabda,

"Sekiranya tidak memberatkan umatku, nescaya akan aku perintahkan mereka untuk menggosok gigi setiap hendak solat." (Muttafaq Alaih)

Tentang manfaat dan keutamaan menggosok gigi ini disebutkan dalam sebuah hadis,

"Menggosok gigi itu dapat membersihkan mulut dan membuat Allah redha." (HR. An-Nasa'i)

Friday, April 15, 2011

WAKTU SOLAT MALAM RASULULLAH S.A.W

Yang pasti dan ini adalah sunnah, Rasulullah S.A.W tidak pernah mengerjakan solat tahajjud semalaman atau menghabiskan seluruh malamnya untuk solat. Tidak seperti yang biasa dilakukan oleh sebahagian orang-orang yang berlebih-lebihan dalam ibadahnya, di mana dia habiskan semalam suntuk untuk solat tahajjud.

Dalam hadis disebutkan bahawa Nabi solat tahajjud hanya disebahagian malam saja, tidak seluruhnya. Kadang-kadang solat di akhir malam, kadang-kadang di pertengahan malam dan kadang-kadang juga di awal malam. Anas bin Malik Radhiyallahu Anhu berkata,

"Bila pun kami ingin melihat beliau solat malam, nescaya kami akan melihatnya. Dan bila kami ingin melihat beliau tidur, pasti kami juga akan melihatnya." (HR. Ahmad)

Al-Hafizh Ibnu Hajar berkata, "Tidak ada waktu tertentu dalam solat tahajjud Rasulullah S.A.W. Beliau melakukannya bila beliau merasa ringan untuk melakukannya."

Namun ada hadis lain yang lebih spesifik dari hadis di atas, di mana beliau mengerjakan solat tahajjud di akhir malam. Dan ini adalah waktu yang paling utama menurut jumhur ulama.

"Dari Aisyah Radhiyallahu Anha, bahawasanya Nabi S.A.W biasa tidur di awal malam dan bangun di akhir malam, lalu beliau solat." (HR Al-Bukhari dan Muslim)

Kesimpulannya, Nabi biasa mengerjakan solat malam bila pun beliau mahu. Boleh di awal malam, di pertengahan malam, ataupun di akhir malam. Bahkan sesaat sebelum subuh pun sekiranya beliau belum menutup solat malamnya dengan witir, beliau menyempatkan solat witir. Yang jelas, orang yang solat malam, sekalipun hanya 2 rakaat, lebih baik daripada yang tidak solat malam.

Termasuk sekiranya seseorang takut tidak dapat bangun malam, dia boleh mengerjakannya sebelum tidur. Kerana Rasulullah S.A.W pernah berpesan demikian kepada beberapa sahabat seperti Abu Hurairah dan Abu Ad-Darda' agar solat malam terlebih dahulu sebelum tidur jika khuatir tidak bangun pada malam harinya.

SELALU SOLAT MALAM

Solat malam atau biasa disebut dengan solat tahajjud adalah solat yang paling utama setelah solat fardhu, sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W dalam sebuah hadisnya, kerana itulah Allah S.W.T memerintahkan NabiNya agar sentiasa melaksanakan solat malam untuk mendapatkan keutamaan dan mencapai kedudukan yang terpuji di sisiNya di akhirat kelak. Dalam Al-Quran disebutkan,

"Dan bertahajjudlah kamu di sebahagian malam sebagai nafilah (tambahan) bagi dirimu, agar Tuhanmu membangkitkanmu pada kedudukan yang terpuji." (Surah Al-Israa' ayat 79)

Berdasarkan ayat inilah sebahagian ulama mengatakan bahawa khusus kepada NabiNya dan tidak kepada umatnya, Allah S.W.T mewajibkan solat malam. Sehingga tidak menghairankan jika solat malam adalah kebiasaan yang tidak pernah beliau tinggalkan, sekalipun segala dosa-dosa beliau yang telah lalu dan akan datang telah diampuni Allah. Bahkan beliau melakukannya hingga kakinya pecah-pecah (bengkak) disebabkan lamanya berdiri. Aisyah Radhiyallahu Anhu menceritakan,

"Sesungguhnya Nabi S.A.W selalu bangun (solat) malam hingga pecah-pecah kedua kakinya. Aku pun berkata kepada beliau, 'Kenapa engkau melakukan ini wahai Rasulullah. Bukankah Allah telah mengampuni segala dosamu yang telah lalu dan yang akan datang?' Kata beliau, 'Apakah tidak boleh jika aku senang menjadi hamba yang bersyukur?'" (HR. Al-Bukhari dan Muslim)

Demikian, solat tahajjud adalah satu kebiasaan yang selalu beliau lakukan setiap malam, kecuali jika ada halangan. Dan jika beliau tidak melakukannya disebabkan suatu halangan, beliau mengerjakannya pada siang harinya. Tentang kebiasaan Nabi yang selalu solat tahajjud setiap malam ini, Aisyah berkata,

"Setiap malam, Rasulullah S.A.W selalu solat witir, dan solat witir beliau selesai di waktu sahur." (HR. Al-Bukhari)

Banyak sekali hadis yang menyebutkan tentang keutamaan solat malam. Di antaranya adalah yang diriwayatkan Iman Muslim dari Jabir Radhiyallahu Anhu, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda,

"Sesungguhnya pada malam hari ada saat yang apabila seorang muslim meminta suatu kebaikan dalam urusan dunia dan akhirat kepada Allah, nescaya Dia akan memberikannya kepadanya. Dan itu di setiap malam." (HR. Muslim)

Thursday, April 14, 2011

SOLAT SUNNAH SETELAH ISYA'

Ketika membahas masalah solat sunnah sesudah isya', Sheikh Sayyid Sabiq rahimahullah dalam fiqh As-Sunnahnya hanya menyebutkan dua buah hadis, salah satunya berbunyi,

"Dari Ibnu Umar Radhiyallahu Anhuma, ia berkata, 'Kebiasaan solat Rasulullah S.A.W adalah tidak pernah meninggalkan 2 rakaat sebelum zuhur dan 2 rakaat sesudahnya, 2 rakaat sesudah mahgrib, 2 rakaat sesudah isya' , dan 2 rakaat sebelum subuh." (HR. Ahmad dengan sanad yang bagus)

Sebagaimana yang dikatakan Ibnu Umar dalam hadis ini, solat sunnah ba'diyah isya' 2 rakaat adalah kebiasaan Nabi S.A.W yang tidak pernah beliau tinggalkan. Dalam hadis yang juga diriwayatkan dari Ibnu Umar dikatakan,

"Aku (Ibnu Umar) jaga baik-baik sepuluh rakaat dari Nabi S.A.W; 2 rakaat sebelum zuhur dan 2 rakaat sesudahnya, 2 rakaat sesudah mahgrib di rumahnya, 2 rakaat sesudah isya' di rumahnya dan 2 rakaat sebelum solat subuh." (HR. Al-Bukhari)

Semua ulama sepakat bahawa solat sunnah 2 rakaat setelah isya' termasuk dalam sepuluh (atau dua belas) solat sunnah rawatib muakkadah.

Wednesday, April 13, 2011

SOLAT SUNNAH 2 RAKAAT SESUDAH MAHGRIB

Ibnu Umar Radhiyallahu Anha berkata,


"Aku solat bersama Rasulullah S.A.W 2 rakaat sebelum zuhur dan 2 rakaat sesudahnya, 2 rakaat setelah jumaat, 2 rakaat sesudah mahgrib dan 2 rakaat sesudah isya'." (Muttafaq Alaih)

Dalam hadis lain disebutkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda,

"Barangsiapa solat sunnah 12 belas rakaat dalam sehari semalam, Allah akan membangunkan rumah untuknya di Syurga, yaitu... dan 2 rakaat sesudah mahgrib." (HR. Al-Jamaah)

Tentu kita dan setiap umat Islam pasti ingin dibangunkan atau disediakan sebuah rumah yang indah oleh Allah si syurga kelak. Dan insyaAllah, kita akan dapat memperolehnya sekiranya sentiasa memelihara dan mengerjakan solat-solat sunnah rawatib, khususnya yang muakkadah. Dan termasuk di dalam nya adalah solat sunnah 2 rakaat sesudah mahgrib.

SELALU SOLAT SUNNAH 4 RAKAAT SEBELUM ZUHUR

"Dari Aisyah Radhiyallahu Anha, bahawasanya Nabi S.A.W tidak pernah meninggalkan 4 rakaat sebelum zuhur dan 2 rakaat sebelum subuh." (HR. Al-Bukhari)

Dalam hadis ini, selain diceritakan tentang kebiasaan Nabi yang sentiasa mengerjakan solat sunnah fajar 2 rakaat, juga disebutkan kebiasaan beliau yang lain, yaitu selalu mengerjakan solat sunnah 4 rakaat sebelum Zuhur. Dengan demikian, kerana beliau selalu mengerjakannya, solat sunnah 4 rakaat sebelum zuhur ini termasuk dalam solat sunnah muakkadah.

Meksipun dalam hadis ini disebutkan bahawa Nabi S.A.W solat qabliyah zuhur 4 rakaat, tetapi yang biasa disebut dalam kitab-kitab fikih adalah 2 rakaat. Terdapat sejumlah riwayat yang mengatakan bahawa Nabi terkadang melakukannya 2 rakaat. Seperti hadis yang diriwayatkan Imam Al-Bukhari dan Muslim dari Abdullah bin Umar,

"Saya solat bersama Rasulullah S.A.W 2 rakaat zuhur dan 2 rakaat sesudahnya."


Jadi, baik 2 rakaat ataupun 4 rakaat solat sunnah sebelum zuhur, dua-duanya adalah kebiasaan yang sering dilakukan oleh Nabi S.A.W dan kedua-duanya adalah sunnah. Tidak ada kontradiksi dalam hal ini. Kerana boleh saja Nabi melakukan 4 rakaat di rumah kemudian beliau melakukan 2 rakaat lagi di masjid. Atau sebagaimana kata Ibnu Hajar, "Yang lebih baik adalah meyakini bahawa Nabi melakukan keduanya. Dimana terkadang beliau solat 2 rakaat dan terkadang 4 rakaat."

Tentang keutamaan solat sunnah 4 rakaat sebelum Zuhur ini, Rasulullah S.A.W bersabda,

"Barangsiapa yang solat 4 rakaat sebelum zuhur dan 4 rakaat sesudahnya, Allah akan mengharamkannya dari neraka." (HR. Imam yang 5, yaitu Ahmad, Abu Dawud, An-Nasa'i, Ibnu Majah dan Al-Tirmizi)

Sedangkan dalam riwayat lain dari Abdullah bin As-Saib Radhiyallahu Anhu disebutkan,

"Bahawasanya Rasulullah S.A.W selalu solat 4 rakaat setelah matahari di atas kepala sebelum zuhur. Beliau bersabda, "Sesungguhnya ini adalah waktu dibukanya pintu-pintu langit. Maka aku senang jika amal soleh diangkat saat itu." (HR. At-Tirmidzi)

Tuesday, April 12, 2011

MENGERJAKAN SOLAT SUNNAH DI RUMAH

"Dari Aisyah Radhiyallahu Anha, ia berkata, 'Nabi S.A.W biasa solat 4 rakaat sebelum Zuhur di rumahku. Kemudian beliau keluar ke masjid dan solat bersama orang-orang. Lalu beliau masuk ke rumahku dan solat 2 rakaat. Pada saat Mahgrib, beliau solat bersama orang-orang, kemudian masuk ke rumahku lagi solat 2 rakaat. Setelah solat Isya' bersama orang-orang, beliau masuk rumahku dan solat 2 rakaat'." (HR. Muslim)

Solat fardhu berbeza dengan solat sunnah. Kalau solat fardhu, sebaiknya dikerjakan di masjid dengan berjemaah. Begitulah Rasulullah S.A.W mengajarkan kepada kita kaum muslimin. Adapun solat sunnah, Rasul sentiasa melakukannya di rumah, sebagaimana diceritakan Aisyah dalam hadisnya. Di mana beliau memisahkan antara solat fardhu dan solat sunnah. Sebelum ke masjid, beliau solat sunnah qabliyah terlebih dahulu di rumah, dan setelah selesai mengimami para sahabat dalam solat fardhu, beliau kembali ke rumahnya untuk melakukan solah sunnah. Beliau tidak mengerjakan solat sunnah di masjid, bahkan untuk solat sunnah, beliau memerintahkan kita agar mengerjakan di rumah.

Rasulullah S.A.W bersabda,

"Solatlah di rumah kalian wahai manusia. Kerana sesungguhnya solat yang paling baik adalah solat seseorang di rumahnya, kecuali solat wajib." (HR. Al-Bukhari dan Muslim)

Mengerjakan solat sunnah di rumah lebih baik daripada mengerjakannya di masjid kerana hal ini lebih menjaga dan menghindarkan seseorang dari sifat riya' yang terkadang datang tanpa di undang ke dalam hati manusia. Meskipun begitu, boleh mengerjakan solat sunnah di masjid kerana Nabi tidak pernah melarang hal ini.

Selain itu, solat sunnah di rumah juga dapat memberikan kebaikan dan barakah bagi rumah dan orang-orang yang tinggal di rumah tersebut. Agar rumah kita tidak seperti kuburan sepi dari amal dan ibadah. Sebagaimana yang disabdakan Rasulullah S.A.W dalam hadis yang diriwayatkan Ibnu Umar Radhiyallahu Anhuma,

"Jadikanlah sebagian solatmu di rumah, dan janganlah kalian buat rumah kalian seperti kuburan." (Muttafaq Alaih)

MEMBACA SURAH AL-IKHLAS DAN AL-KAFIRUN DALAM SOLAT FAJAR

Dalam hadis yang diriwayatkan dari Ibnu Umar Radhiyallahu Anhuma disebutkan,

"Aku mengamati Nabi S.A.W selama sebulan, beliau membaca dalam 2 rakaat sebelum fajar: Qul yaa ayyuhal kaafirun dan Qul huwallaahu Ahad." (HR. At-Tarmizi, dia berkata bahawa ini adalah hadis hasan)

Dalam hadis di atas dijelaskan bahawa Rasul membaca surah Al-Kafirun dan Al-Ikhlas dalam solat fajarnya. Sesuai dengan urutan surah-surah Al-Quran dan hadis, surah Al-Kafirun beliau baca pada rakaat pertama, sedangkan surah Al-Ikhlas dibaca pada rakaat kedua.

Dua surah ini termasuk dalam jajaran surah-surah pendek dan termasuk dalam surah-surah Makiyyah, yakni surah-surah yang diturunkan di Makkah sebelum beliau berhijrah ke Madinah.

Dalam hadis lain riwayat Abu Hurairah Radhiyallahu Anhu disebutkan,

"Sesungguhnya Rasulullah S.A.W membaca dalam 2 rakaat fajar: Qul yaa ayyuhal kaafirun dan Qul huwallaahu Ahad." (HR. Muslim)

MERINGANKAN SOLAT SUNNAH FAJAR

Dalam sebuah hadis shahih disebutkan,

"Dari Hafshah Radhiyallahu Anha, bahawasanya Rasulullah S.A.W apabila muadzin telah mengumandangkan azan subuh dan subuh telah tampak, beliau solat 2 rakaat ringan." (HR. Al-Bukhari dan Muslim)

Di dalam Nuzhat Al-Muttaqin dikatakan bahawa yang dimaksud dengan 2 rakaat ringan adalah meringankan solat sunnah 2 rakaat fajar dalam bacaan dan gerakannya, yakni solat dengan cepat. Sampai-sampai disebabkan cepatnya Aisyah pernah bertanya dalam hati, apakah beliau membaca Al-Fatihah atau tidak dalam 2 rakaat tersebut.Aisyah Radhiyallahu Anha berkata,

"Nabi S.A.W selalu meringankan solat sunnah 2 rakaat sebelum subuh. Sehingga aku berkata, apakah beliau membaca Ummul Kitab (Al-Fatihah)?" (Muttafaq Alaih)

Ummul Kitab adalah surah Al-Fatihah. Namun meskipun Al-Fatihah cukup pendek, Aisyah menggambarkan solat sunnah fajar Nabi seolah-olah tidak membacanya disebabkan amat ringkasnya beliau dalam mengerjakan solat sunnah fajar ini. Hafshah Radhiyallahu Anha berkata,

"Apabila fajar telah terbit, Rasulullah S.A.W tidak solat lagi selain hanya dua rakaat ringan." (HR. Muslim)

Jadi, meringankan solat sunnah qabliyah subuh atau solat fajar dengan memendekkan gerakan dan bacaan adalah salah satu kebiasaan yang selalu dilakukan oleh Rasulullah S.A.W

Monday, April 11, 2011

KEBIASAAN-KEBIASAAN NABI SEKITAR SOLAT

SELALU SOLAT SUNNAH FAJAR


"Dari Aisyah Radhiyallahu Anha, ia berkata, "Sesungguhnya Nabi S.A.W tidak pernah meninggalkan 4 rakaat sblm Zuhur dan 2 rakaat sebelum Subuh." (HR. Al-Bukhari)

Terdapat banyak hadis yang menyebutkan bahawa Rasulullah S.A.W selalu melakukan solat sunnah 2 rakaat sebelum solat Subuh. Kalimah tidak pernah meninggalkan pada hadis di atas menunjukkan bahawa solat sunnah fajar 2 rakaat atau boleh juga disebut sebagai solat sunnah qabliyah subuh adalah satu kebiasaan Nabi atau suatu perbuatan yang biasa dilakukan oleh beliau. Para ulama menyatakan bahawa solat sunnah 2 rakaat fajar termasuk solat sunnah Muakkadah. Dalam hadis lain dikatakan:

"Di antara solat-solat nafilah(sunnah), tidak ada satupun yang lebih dijaga perlaksanaannya oleh Nabi S.A.W daripada dua rakaat fajar" (HR. Al-Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis riwayat Abu Hurairah disebutkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

"Janganlah kalian meninggalkan dua rakaat fajar, sekalipun kalian sedang menghadapi musuh." (Al-Hadis)

Beliau juga bersabda,

"Dua rakaat fajar itu lebih baik daripada dunia dan segala yang ada di dalamnya." Dalam riwayat lain: "Lebih aku sukai daripada dunia seisinya." (HR.Muslim)

permulaan...

dengan nama ALLAH Yang Pemurah Lagi Maha Penyayang...
ku tujukan semua tulisan ini khas dan teristimewa kepada baginda Nabi Muhammad SAW yang dicintai..perngorbananmu, perjuanganmu, dan cintamu kepada kami umatmu sering membuatku terharu.. Rasulullah, alangkah indahnya jika baginda masih hidup bersama kita semua...Sungguh ku terharu..Semoga suatu hari nanti..ku akan dapat berjumpa dengan insan teristimewa ini...di alam yang kekal abadi nanti...selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat... Semoga sunnah dan cara hidup baginda akan sentiasa menjadi tauladan dan ikutan buat kita semua..
sebenarnya dah lama menyimpan niat untuk sama-sama berkongsi sunnah-sunnah nabi dan kebiasaan-kebiasaan beliau kerana sesungguhnya Nabi adalah pemimpin kita yang terulung dan patut dicontohi..
kandungan dari blog ini tentang sunnah-sunnah nabi adalah dirujuk dari sumber-sumber yang InsyaAllah benar.. di antaranya adalah dari buku 165 kebiasaan nabi oleh Abduh Sulfidar Akaha
namun..andai ada kandungan yang curigai kebenarannya..silalah bertanya kepada yang lebih pakar..iaitu ustaz dan ustazah berhampiran anda..
diharapkan blog ini dapat menambahkan ilmu pengetahuan tentang islam dan lain-lain... 
selamat berdakwah dan berkongsi ilmu pengetahuan...