Solat malam atau biasa disebut dengan solat tahajjud adalah solat yang paling utama setelah solat fardhu, sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W dalam sebuah hadisnya, kerana itulah Allah S.W.T memerintahkan NabiNya agar sentiasa melaksanakan solat malam untuk mendapatkan keutamaan dan mencapai kedudukan yang terpuji di sisiNya di akhirat kelak. Dalam Al-Quran disebutkan,
"Dan bertahajjudlah kamu di sebahagian malam sebagai nafilah (tambahan) bagi dirimu, agar Tuhanmu membangkitkanmu pada kedudukan yang terpuji." (Surah Al-Israa' ayat 79)
Berdasarkan ayat inilah sebahagian ulama mengatakan bahawa khusus kepada NabiNya dan tidak kepada umatnya, Allah S.W.T mewajibkan solat malam. Sehingga tidak menghairankan jika solat malam adalah kebiasaan yang tidak pernah beliau tinggalkan, sekalipun segala dosa-dosa beliau yang telah lalu dan akan datang telah diampuni Allah. Bahkan beliau melakukannya hingga kakinya pecah-pecah (bengkak) disebabkan lamanya berdiri. Aisyah Radhiyallahu Anhu menceritakan,
"Sesungguhnya Nabi S.A.W selalu bangun (solat) malam hingga pecah-pecah kedua kakinya. Aku pun berkata kepada beliau, 'Kenapa engkau melakukan ini wahai Rasulullah. Bukankah Allah telah mengampuni segala dosamu yang telah lalu dan yang akan datang?' Kata beliau, 'Apakah tidak boleh jika aku senang menjadi hamba yang bersyukur?'" (HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Demikian, solat tahajjud adalah satu kebiasaan yang selalu beliau lakukan setiap malam, kecuali jika ada halangan. Dan jika beliau tidak melakukannya disebabkan suatu halangan, beliau mengerjakannya pada siang harinya. Tentang kebiasaan Nabi yang selalu solat tahajjud setiap malam ini, Aisyah berkata,
"Setiap malam, Rasulullah S.A.W selalu solat witir, dan solat witir beliau selesai di waktu sahur." (HR. Al-Bukhari)
Banyak sekali hadis yang menyebutkan tentang keutamaan solat malam. Di antaranya adalah yang diriwayatkan Iman Muslim dari Jabir Radhiyallahu Anhu, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda,
"Sesungguhnya pada malam hari ada saat yang apabila seorang muslim meminta suatu kebaikan dalam urusan dunia dan akhirat kepada Allah, nescaya Dia akan memberikannya kepadanya. Dan itu di setiap malam." (HR. Muslim)
No comments:
Post a Comment