"Dari Aisyah Radhiyallahu Anha, ia berkata, 'Nabi S.A.W biasa solat 4 rakaat sebelum Zuhur di rumahku. Kemudian beliau keluar ke masjid dan solat bersama orang-orang. Lalu beliau masuk ke rumahku dan solat 2 rakaat. Pada saat Mahgrib, beliau solat bersama orang-orang, kemudian masuk ke rumahku lagi solat 2 rakaat. Setelah solat Isya' bersama orang-orang, beliau masuk rumahku dan solat 2 rakaat'." (HR. Muslim)
Solat fardhu berbeza dengan solat sunnah. Kalau solat fardhu, sebaiknya dikerjakan di masjid dengan berjemaah. Begitulah Rasulullah S.A.W mengajarkan kepada kita kaum muslimin. Adapun solat sunnah, Rasul sentiasa melakukannya di rumah, sebagaimana diceritakan Aisyah dalam hadisnya. Di mana beliau memisahkan antara solat fardhu dan solat sunnah. Sebelum ke masjid, beliau solat sunnah qabliyah terlebih dahulu di rumah, dan setelah selesai mengimami para sahabat dalam solat fardhu, beliau kembali ke rumahnya untuk melakukan solah sunnah. Beliau tidak mengerjakan solat sunnah di masjid, bahkan untuk solat sunnah, beliau memerintahkan kita agar mengerjakan di rumah.
Rasulullah S.A.W bersabda,
"Solatlah di rumah kalian wahai manusia. Kerana sesungguhnya solat yang paling baik adalah solat seseorang di rumahnya, kecuali solat wajib." (HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Mengerjakan solat sunnah di rumah lebih baik daripada mengerjakannya di masjid kerana hal ini lebih menjaga dan menghindarkan seseorang dari sifat riya' yang terkadang datang tanpa di undang ke dalam hati manusia. Meskipun begitu, boleh mengerjakan solat sunnah di masjid kerana Nabi tidak pernah melarang hal ini.
Selain itu, solat sunnah di rumah juga dapat memberikan kebaikan dan barakah bagi rumah dan orang-orang yang tinggal di rumah tersebut. Agar rumah kita tidak seperti kuburan sepi dari amal dan ibadah. Sebagaimana yang disabdakan Rasulullah S.A.W dalam hadis yang diriwayatkan Ibnu Umar Radhiyallahu Anhuma,
"Jadikanlah sebagian solatmu di rumah, dan janganlah kalian buat rumah kalian seperti kuburan." (Muttafaq Alaih)
No comments:
Post a Comment