Sunday, April 17, 2011

MENGGOSOK GIGI APABILA BANGUN MALAM

"Dan dari Hudzaifah Radhiyallahu Anhu, ia berkata, bahawa apabila Rasulullah S.A.W bangun dari tidurnya, beliau menggosok giginya dengan siwak." (HR. Al-Bukhari dan Muslim)

Dalam kamus al-Munjid disebutkan, bahawa siwak adalah sejenis ranting atau kayu-kayu kecil yang dipakai untuk menyikat gigi. Siwak ini berbau harum dan biasa dipakai oleh orang Arab untuk menggosok gigi. Siwak berasal dari kata yang ertinya menggosok atau menyikat. Itu dulu. Dan untuk masa sekarang, orang biasa membersihkan gigi dengan berus gigi dan ubatnya.

Adapun maksud dari "apabila bangun dari tidur" adalah bangun pada malam hari. Sebab, memang setiap hari Nabi S.A.W selalu bangun malam. Jadi bukan bangun tidur di pagi hari sebagaimana yang lazim kita kenal. Namun secara umum, hadis ini boleh difahami dan diamalkan, yaitu menggosok gigi setiap kali bangun dari tidur. Baik semasa pagi hari semasa hendak menunaikan solat Subuh ataupun bangun dari tidur di siang hari. Hadis ini diperkuat oleh riwayat dari Aisyah yang mengatakan,

"Kami (para isteri Nabi) selalu menyiapkan berus gigi (siwak) dan alat bersuci untuk Rasulullah S.A.W. Kemudian Allah membangunkannya di malam hari bila saja Dia menghendaki. Lalu beliau menggosok gigi, berwudhu, dan solat." (HR. Muslim)

Ada beberapa pelajaran yang dapat kita ambil. Pertama, contoh kebersihan yang ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W dalam sehariannya, dimana beliau menjaga kebersihan tubuhnya, termasuk giginya. Kerana mulut cenderung berbau tidak sedap setelah seseorang bangun tidur. Kedua, dalam menghadap Tuhannya, beliau selalu menjaga penampilan seindah mungkin, bersih dalam pakaian dan tubuhnya. Beliau tidak ingin menghadap Allah dalam keadaan badan yang kotor atau dengan bau mulut yang tidak sedap serta pakaian yang tidak kemas. Rasulullah S.A.W bersabda,

"Sekiranya tidak memberatkan umatku, nescaya akan aku perintahkan mereka untuk menggosok gigi setiap hendak solat." (Muttafaq Alaih)

Tentang manfaat dan keutamaan menggosok gigi ini disebutkan dalam sebuah hadis,

"Menggosok gigi itu dapat membersihkan mulut dan membuat Allah redha." (HR. An-Nasa'i)

No comments:

Post a Comment