Yang pasti dan ini adalah sunnah, Rasulullah S.A.W tidak pernah mengerjakan solat tahajjud semalaman atau menghabiskan seluruh malamnya untuk solat. Tidak seperti yang biasa dilakukan oleh sebahagian orang-orang yang berlebih-lebihan dalam ibadahnya, di mana dia habiskan semalam suntuk untuk solat tahajjud.
Dalam hadis disebutkan bahawa Nabi solat tahajjud hanya disebahagian malam saja, tidak seluruhnya. Kadang-kadang solat di akhir malam, kadang-kadang di pertengahan malam dan kadang-kadang juga di awal malam. Anas bin Malik Radhiyallahu Anhu berkata,
"Bila pun kami ingin melihat beliau solat malam, nescaya kami akan melihatnya. Dan bila kami ingin melihat beliau tidur, pasti kami juga akan melihatnya." (HR. Ahmad)
Al-Hafizh Ibnu Hajar berkata, "Tidak ada waktu tertentu dalam solat tahajjud Rasulullah S.A.W. Beliau melakukannya bila beliau merasa ringan untuk melakukannya."
Namun ada hadis lain yang lebih spesifik dari hadis di atas, di mana beliau mengerjakan solat tahajjud di akhir malam. Dan ini adalah waktu yang paling utama menurut jumhur ulama.
"Dari Aisyah Radhiyallahu Anha, bahawasanya Nabi S.A.W biasa tidur di awal malam dan bangun di akhir malam, lalu beliau solat." (HR Al-Bukhari dan Muslim)
Kesimpulannya, Nabi biasa mengerjakan solat malam bila pun beliau mahu. Boleh di awal malam, di pertengahan malam, ataupun di akhir malam. Bahkan sesaat sebelum subuh pun sekiranya beliau belum menutup solat malamnya dengan witir, beliau menyempatkan solat witir. Yang jelas, orang yang solat malam, sekalipun hanya 2 rakaat, lebih baik daripada yang tidak solat malam.
Termasuk sekiranya seseorang takut tidak dapat bangun malam, dia boleh mengerjakannya sebelum tidur. Kerana Rasulullah S.A.W pernah berpesan demikian kepada beberapa sahabat seperti Abu Hurairah dan Abu Ad-Darda' agar solat malam terlebih dahulu sebelum tidur jika khuatir tidak bangun pada malam harinya.
No comments:
Post a Comment