"Dan dari Aisyah Radhiyallahu Anha, ia berkata, 'Rasulullah S.A.W biasa berbincang-bincang dengan kami dan kami pun berbincang-bincang dengan beliau. Tetapi apabila masuk waktu solat, seakan-akan beliau tidak mengenal kami dan kami pun tidak mengenali beliau'." (HR. Al-Azdi)
Begitu tingginya nilai keutamaan solat berjemaah dan memenuhi panggilan adzan, sehingga dalam keadaan sedang bercengkerama dengan isteri-isterinya pun, ketika masuk waktu solat, dan dikumandangkan adzan Rasulullah S.A.W terus menyelesaikan pembicaraannya. Lalu beliau segera mengambil air wudhu, bersiap-siap dan bergegas menuju ke masjid untuk menunaikan solat jemaah bersama-sama para sahabat. Tentang sikap beliau tatkala menjawab panggilan solat ini, sampai-sampai Aisyah menggambarkannya sebagai "seakan tidak mengenali mereka."
Itulah kebiasaan beliau ketika masuk waktu solat, segera bersiap-siap dan bergegas menuju ke masjid. Dalam hadits lain yang juga diriwayatkan dari Aisyah disebutkan,
"Dari Al-Aswad bin Yazid, ia berkata, Aku bertanya kepada Aisyah Radhiyallahu Anha, 'Apa yang dilakukan Nabi S.A.W di rumahnya?' Kata Aisyah, 'Beliau membantu pekerjaan keluarganya. Dan apabila masuk waktu solat, beliau segera keluar menunaikan solat'." (HR. Al-Bukhari)
Dan dalam hadits lain yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dan Muslim dari Amru bin Umayyah Adh-Dhamari Radhiyallahu Anhu disebutkan,
"Aku (Amru) melihat Rasulullah S.A.W memotong daging kambing dan memakannya. Kemudian ketika datang panggilan solat, beliau terus berdiri dan meletakkan pisaunya, lalu solat." (Muttafaq Alaih)
Diriwayatkan, bahawa Ali bin Abi Thalib Radhiyallahu Anhu sampai bergetar tubuhnya dan berubah warna raut mukanya apabila datang waktu solat dan terdengar panggilan adzan. Seorang sahabat bertanya, "Ada apa dengan dirimu, wahai Amirul Mukminin?" Ali berkata, "Telah datang waktu amanat pernah ditawarkan Allah kepada langit, bumi dan gunung, untuk menjadi khalifah. Kemudian mereka menolak dan tidak sanggup menjadi khalifah. Kemudian ketika amanat ini ditawarkan kepada manusia, dia pn menerimanya.
No comments:
Post a Comment