Wednesday, May 4, 2011

MENGARAHKAN PANDANGAN KE TEMPAT SUJUD

Solat adalah komunikasi langsung antara seorang hamba dan TuhanNya. Di mana dalam solat, seorang hamba bermunajat kepadaNya. Sehingga sudah seharusnya jika seorang hamba melaksanakan solatnya dengan penuh khusyu' .Kerana ketika seseorang solat, dia sedang berhadapan dengan Allah S.W.T. Salah satu cara menggapai khusyu' dalam solat adalah mengarahkan pandangan hanya ke tempat sujud, sebagaimana yang diajarkan Rasulullah S.A.W. Dalam sebuah hadits disebutkan,

"Dan dari Abdullah bin Abbas Radhiyallahu Anhuma, ia berkata, 'Apabila Rasulullah S.A.W telah memulai solatnya, beliau tidak melihat kecuali hanya ke tempat sujudnya'." (HR. Al-Baihaqi)

"Beliau tidak melihat kecuali hanya ke tempat sujudnya," maksudnya ialah; beliau S.A.W hanya mengarahkan pandangan ke arah tempat sujudnya. Hal ini selain menjaga agar pandangan tidak ke sana ke mari, ia juga membuat seseorang lebih khusyu' dalam solatnya. Cuma ketika duduk tasyahhud, pandangan diarahkan ke jari telunjuk, bukan ke tempat sujud. Dalam hadits Anas bin Malik Radhiyallahu Anhu disebutkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda,

"Ada apa dengan orang-orang yang mengangkat pandangannya ke langit dalam solatnya? Hendaklah mereka menghentikan perbuatan tersebut atau mata-mata mereka akan dibutakan?" (HR. Al-Bukhari)

Orang yang ketika solat matanya melihat ke atas dan ke sana ke mari serta tidak terfokus ke arah tempat sujud, menandakan ketidakkhusyu'an orang tersebut. Kerana mengalihkan pandangan ke arah lain selain tempat sujud adalah kerja syaitan yang berjaya mengganggunya. Seperti hadits yang diriwayatkan oleh Aisyah Radhiyallahu Anha,

"Aku (Aisyah) bertanya kepada Rasulullah S.A.W tentang memalingkan pandangan ketika solat. Beliau bersabda, 'Itu gangguan yang dilancarkan syaitan terhadap solat seorang hamba'." (HR. Al-Bukhari)

Jadi mengarahkan pandangan ke tempat sujud yang biasa dilakukan dan diajarkan oleh Nabi adalah sunnah. Hal ini merupakan salah satu usaha untuk dapat berkonsentrasi penuh dalam melaksanakan solat. Dan inilah yang disebut sebagai khusyu' yang dijanjikan Allah akan memperoleh kebahagiaan sebagai pewaris abadi syurga Firdaus di akhirat kelak.

No comments:

Post a Comment