Friday, September 7, 2012

SERIUS DALAM KHUTBAHNYA DAN TIDAK BERGURAU


“Dan dari Jabir bin Abdullah Radhiyallahu Anhuma, ia berkata, ‘Apabila Rasulullah S.A.W berkhutbah, matanya merah, suaranya meninggi, dan semangatnya menyala-nyala, seakan-akan beliau sedang memberi arahan kepada pasukan perang.” (HR. Muslim dan Ibnu Majah)

Demikianlah kebiasaan Rasulullah S.A.W dalam khutbah Jumaatnya. Beliau serius dan tidak bergurau. Kerana seriusnya ekspresi beliau dalam khutbahnya, Jabir menggambarkan bahawa mata beliau sampai merah, suaranya keras meninggi, penuh semangat yang menyala-nyala, dan seakan-akan beliau sedang membakar semangat para perajuritnya yang berada dalam medan perang.

Bahkan sering apa yang beliau sampaikan membuat para sahabat menangis dan bergetar hatinya. Sebagaimana yang diceritakan Al-Irbadh bin Sariyah Radhiyallahu Anhu,

“Rasulullah S.A.W pernah memberi nasihat kepada kami dengan suatu nasihat yang sangat mengena. Sehingga hati ini menjadi bergetar dan mata menitiskan air matanya. Kami berkata, ‘Wahai Rasulullah, seakan-akan ini adalah nasihat perpisahan.” (HR. Abu Dawud dan At-Tirmidzi)

Anas bin Malik Radhiyallu Anhu berkata,

“Rasulullah S.A.W memberikan suatu nasihat yang tidak pernah aku mendengar seperti itu sebelumnya. Hingga beliau berkata, ‘Sekiranya kalian mengetahui seperti apa yang aku ketahui, nescaya kalian akan sedikit tertawa dan menangis’. Maka para sahabat pun menutupi wajah mereka seraya menangis tersedu-sedu.” (Muttafaq Alaih)

Ibnu Rajab Al-Hambali berkata, “Hendaknya seseorang bersungguh-sungguh dan serius ketika menyampaikan nasihat. Dia mesti menggunakan kalimah-kalimah yang bagus dan memakai kata-kata dengan gaya bahasa yang indah didengar di telinga. Dengan demikian, apa yang disampaikannya akan mudah diterima oleh yang mendengar dan lebih mengena ke dalam hati.”

Firman Allah S.W.T,

“Apakah belum tiba saatnya bagi orang-orang beriman agar hati mereka khusyu’ untuk mengingat Allah dan apa yang Dia turunkan dari kebenaran?” (Al-Hadid:16)

No comments:

Post a Comment